Sunday 29 January 2012

Assalamualaikum w.b.t...

   Salam sejahtera saya ucapkan kepada semua yang sudi membaca terutama sekali ahli-ahli lian padukan dan juga pengamal-pengamal buah pukul yang sealiran dengannya, semoga kita sentiasa berada di dalam keadaan sihat mental dan fizikal. Pada kali ini teringin rasanya saya hendak berbincang tentang sesuatu yang dikatakan ASLI atau TIRUAN, yang bagaimanakah dikatakan ASLI dan yang bagaimanakah dikatakan TIRUAN supaya kita tidak terkeliru dengan perkataan-perkataan ini. Mari kita sama-sama memikirkan hal ini, jangan biarkan hidup kita di selubungi misteri.hehehe. Kita mestilah menyesuaikan perkataan ASLI dan TIRUAN ini pada tempat yang tepat supaya ia dapat memberi gambaran yang sewajarnya.

   Pada pendapat saya sesuatu yang dikatakan TIRUAN itu bila ia menggunakan jenama 'A' tetapi tidak diperbuat daripada 'A' atau wakil yang diiktiraf oleh 'A', itulah yang dikatakan TIRUAN atau TIDAK ASLI, kerana ia menggunakan jenama 'A' tetapi tidak diperbuat daripada 'A'. Adakah anda faham? Lebih jelas saya bagi contoh yang paling senang difahami, seluar yang anda pakai menggunakan jenama levi's, tetapi bukan diperbuat daripada levi's atau wakil yang diiktiraf, itulah yang dinamakan TIRUAN, sama juga seperti barangan lain. Maka keluarlah iklan yang menyeru kita membeli barangan ASLI.

   Berbeza pula dengan sesuatu yang menggunakan jenama sendiri tetapi meniru reka bentuk jenama lain, ia tetap ASLI. Contoh paling mudah, seluar yang anda beli berjenama edwin tetapi reka bentuknya menyerupai keluaran jenama levi's, adakah seluar edwin anda itu TIRUAN ataupun TIDAK ASLI? Tentulah tidak kan? Seperti juga telefon bimbit, adakah telefon bimbit samsung, nokia dan sebagainya itu TIRUAN kerana meniru reka bentuk i-phon atau blackberry? Tentulah tidak, kerana ia hanya satu strategi untuk bersaing dengan jenama-jenama lain ataupun mungkin  hanya kebetulan sama. Jadi ia tetap ASLI bukannya TIRUAN.

   Dan yang akhir, sesuatu yang menggunakan jenama sendiri dan juga reka bentuk sendiri tetapi reka bentuknya diubah mengikut keperluan dan peredaran zaman, itu juga tetap ASLI, cuma DINAIKTARAF. Contoh yang sama, adakah seluar levi's yang anda pakai itu dari dulu sampai sekarang mempunyai reka bentuk yang sama? Kalau tidak adakah keluaran sekarang ini TIRUAN? Jika ia ASLI kenapa diubah reka bentuknya? Adakah telefon bimbit yang diperbuat oleh nokia, samsung dan jenama-jenama lain itu sama reka bentuk dan aplikasinya dari dulu sampai sekarang? Jika tidak adakah yang sekarang ini bukan ASLI? Kalau ASLI kenapa diubah reka bentuk dan aplikasinya? Kenapa tidak dikekalkan seperti keluaran pertama dahulu? Pada suatu masa dahulu jalan yang menghubungkan suatu tempat ke tempat yang lain adalah jalan tanah merah/kebun, kemudian dinaiktaraf menjadi jalan raya dan seterusnya lebuh raya, jadi adakah lebuh raya itu tidak ASLI? Adakah jalan yang ASLI itu ialah jalan tanah merah/kebun? Jika diberi pilihan, masih adakah orang yang ingin melalui jalan tanah merah/kebun lagi ketika ini? Memang pada zaman dahulu jalan tanah merah/kebun adalah jalan yang terbaik jika dibandingkan dengan laluan belukar, tetapi sekarang tidak lagi kerana dunia sudah membangun, kerajaan menaiktaraf jalan itu mengikut keperluan dan peredaran zaman sebagai objektif untuk mewujudkan satu sistem jalan antara suatu tempat ke suatu tempat lain yang lengkap dan berkesan bagi menampung kenderaan-kenderaan yang semakin bertambah, selain itu juga kerajaan mahu terus berdaya saing untuk mencapai taraf negara maju, dan ini juga usaha untuk memberi kemudahan kepada rakyat yang juga pengguna jalan raya, maka dengan kemudahan itu kita akan lebih PANTAS sampai ke destinasi yang dituju, jalannya lebih KERAS berbanding jalan tanah merah/kebun, serta jalan yang kemas, rata dan tersusun itu membolehkan kita memandu dengan lebih GANAS tanpa WAS-WAS, dan kita akan PUAS. Jikalau anda memandu dengan ganas di jalan tanah merah/kebun tentulah habis tertanggal semua eksesori kenderaan anda, itu akan menjadikan anda WAS-WAS dan akhirnya TEWAS kerana kenderaan anda habis rosak semuanya hehehe. Contoh lain, kereta proton keluaran pertama adalah Saga dan yang terkini adalah Inspira, jadi adakah Inspira itu tidak ASLI? Ataupun kita ambil contoh proton Saga tahun 80an dan proton Saga baru sekarang ini, adakah Saga yang ada sekarang ini tidak ASLI? Kenapa tidak sama sedangkan kedua-duanya adalah proton Saga? Untuk apa diubah? Kenapa tidak kekalkan ciri-ciri keASLIannya yang asal dahulu? Jawapannya mudah, kita menaiktaraf mengikut keperluan dan peredaran zaman untuk bersaing di dunia yang serba baru dan moden ini, tidak perlu dipertikaikan kerana ia tetap ASLI keluaran proton. Jadi siapa mahu guna silakan, siapa tidak mahu terpulanglah, itu hak anda.
  
   Jadi semua di atas ini adalah rumusan dan contoh yang ingin saya bawa ke dalam kisah buah pukul. Pada pendapat saya dalam buah pukul tiada istilah ASLI atau TIDAK, yang ada ialah MODEL LAMA dan MODEL BARU, jadi anda tidak perlu memeningkan kepala untuk membeza-bezakan dan mencari buah pukul yang manakah ASLI kerana dari dahulu lagi permainannya sudah berbeza mengikut tempat dan guru, tetapi semuanya adalah sama, cuma lain padang lain belalang sahaja. Jika makna ASLI mengikut kefahaman anda adalah sesuatu yang asal dan tidak pernah diubah, ditambah atau dicampur adukkan bermakna permainan kita semua adalah tidak ASLI, kerana dari awal lagi permainan ini telah diolah dan digabungkan, buktinya buah pukul lama itu sendiri adalah permainan yang telah digabungkan dengan permainan sunting oleh Awang Daik dan sendeng oleh Pak Long Mohammad Yasin. Setiap orang mempunyai hak untuk menggayakan sesuatu yang dimiliki mengikut kehendak dirinya, anda tidak boleh menghalang selagi ia tidak menyalahi agama kita dan tidak mendatangkan keburukkan pada kita, malah kita perlu menyokong antara satu sama lain jika ia mendatangkan kebaikkan, jadi walau diolah bagaimanapun permainan ini, hakikatnya kita tetap berasal daripada permainan asas yang dibawa oleh Syed Abdul Rahman Yunani, jadi semuanya adalah ASLI, jika tidak bermakna semuanya TIDAK ASLI, terpulang pada anda yang menentukan, kerana manusia yang menciptanya dan manusia juga boleh mengubahnya, tepuk dada tanyalah selera. Cuba anda fikir jika kita semua mempunyai kereta proton yang sama, adakah saya mempunyai hak untuk menghalang anda mengubahsuai kereta anda? Anda ingin mengubahsuai kereta anda menjadi lebih cantik, kemas, laju dan selamat mengikut selera anda itu adalah hak anda, tetapi hakikatnya kereta anda tetap proton yang sama. Begitu juga Lian Padukan, pengasas LP mengubahsuai permainannya mengikut keperluan untuk menjadikan ia lebih mantap dan lebih bersaing pada zaman ini, itu adalah haknya, tetapi hakikatnya beliau tetap dari aliran buah pukul yang asal dan beliau tidak pernah mengubah akidah atau ideologi buah pukul itu sendiri iaitu "nak mengena taknak kena". Kalaulah dahulu emas dijual tanpa dipadukan tetapi sekarang kita dapat lihat emas pun telah dipadukan dengan berlian, permata dan sebagainya bagi saling melengkapi untuk menambah kecantikkan, kualiti dan nilai emas itu sendiri. Manusia tidak akan berhenti daripada terus mengkaji dan mengupas segala sesuatu itu untuk mendapatkan jawapan yang lebih terperinci dan memperbaiki setiap kelemahan yang ada, jika dari sudut lain anda boleh dan mahu menerima perubahan, contohnya perubahan dalam pentakbiran negara, perubahan dalam ekonomi keluarga dan anda mahukan perubahan dalam setiap aspek pada diri dan sekeliling anda, jadi kenapa tidak berlapang dada menerima perubahan di dalam buah pukul? Ini adalah pendapat saya, maaf jikalau ada hati yang tersinggung. Berpegang teguhlah kita pada tali Allah dan janganlah kita berpecah belah. Jadi sampai di sini dahulu mampu saya karang, lain kali kita sambung. Akhir kata dari saya 'TIADA YANG KEKAL DI DUNIA INI MELAINKAN ALLAH'. Jadi usahlah mengharapkan sesuatu yang kekal.  wasalam...

2 comments:

  1. suatu kupasan dan pandangan (jawapan) yang sangat baik, tahniah saudara. - lptrg

    ReplyDelete
  2. terima kasih sebab beri komen positif saudara..

    ReplyDelete