Tuesday 28 February 2012

Assalamualaikum w.b.t...

   Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah kerana dengan izinNya saya dapat terus menulis dan berkongsi cerita di dalam blog ini. Di harap pembaca semua di dalam keadaan sihat di samping keluarga tersayang. Saya diberitahu oleh ayahanda Hj Hasyim dimana mandi penimbul yang dirancang oleh cikgu Azhar dan pelatih-pelatih beliau akan ditukar tarikhnya pada 7&8 april, ini kerana keadaan di tempat acara itu telahpun penuh di tempah oleh pelancong singapura pada tarikh 10&11 mac yang dirancang sebelum ini, jadi masih banyak masa untuk pelatih membuat persediaan, mandi penimbul kali ini juga terbuka kepada semua tidak kira yang tua atau yang muda, yang lama atau yang baru, perempuan atau lelaki, hitam atau putih, handal atau tidak dan di manapun anda berada asalkan anda keluarga LP semuanya boleh turut serta. Ayahanda juga memberitahu tarikh khatam ditukar daripada 12 mei kepada 5 mei, tarikh itu diawalkan atas sebab-sebab tertentu.

   Baiklah, sudah selesai beri info penting saya beralih pula pada cerita sebenar yang saya nak sampaikan. Sebenarnya saya ingin berkongsi cerita dengan pembaca tentang sesuatu yang agak kelakar di mana saya terdengar ada beberapa individu yang mempertikaikan kenapa ahli LP mesti sebut 'BERDIRI' ketika diuji, dan mereka juga bertanya adakah ahli LP tidak mampu berlawan dalam keadaan duduk atau baring. Nak menitis air mata saya bila memikirkan ada juga orang yang akalnya sangat pendek pada zaman serba canggih ini huhuhu.

   Di sini saya hanya hendak menjelaskan pada mereka yang kurang panjang akalnya, di dalam dunia ini hampir semua seni beladiri menggunakan asas latihan dengan konsep berdiri, walaupun dia ada latihan duduk, baring, berguling, melenting atau berenang sekalipun tetapi asas yang utama mesti dalam keadaan berdiri, anda fikirlah sendiri mengapa? Di dalam LP 'BERDIRI' itu salah satu syarat atau adat bertarung, dan seni beladiri lain kebanyakannya pun sama, buktinya sumo pun bertarung dalam keadaan berdiri, jadi bukan tidak boleh bertarung dalam keadaan duduk atau baring tetapi bila diberi pilihan adakah anda pilih duduk atau baring ketika bertemu musuh? Sungguh handal dan riak lah orang spesis ini. Bila anda sedang tidur kemudian rumah anda dimasuki perompak dan anda terjaga, adakah anda akan terus berbaring dan melawan musuh sambil berbaring? Ketika anda sedang duduk minum di warung kemudian musuh datang menyerang anda, adakah anda tetap ingin duduk? adakah anda ingin mengajak musuh anda main catur atau dam haji di warung itu? Itulah adat atau syarat bila bertarung, mesti BERDIRI, dan apabila jatuh kita akan tetap cuba berdiri kembali kerana ia lebih menjamin, barulah anda boleh membuka langkah atau gunakan apa-apa teknik untuk menyerang kembali atau sekurang-kurangnya jika anda tidak mampu melawan musuh itu anda bolehlah lari, kalau dalam keadaan duduk atau berbaring apa anda boleh buat? berlari itik? hehehe. Lagipun adakah anda tergamak bertarung dengan orang yang tidak mampu berdiri seperti orang tua yang uzur, kanak-kanak atau OKU. Jadi maksud berdiri itu paham-pahamlah sendiri, janganlah fikir mengunakan lutut.

   Kesimpulannya bila ada yang tanya saya adakah saya tidak mampu bertarung dalam keadaan duduk atau berbaring, saya akan tanya beliau kembali :

1. adakah anda tidak mampu makan dalam keadaan baring atau berdiri? kenapa anda duduk semasa makan sedangkan anda boleh makan sambil berdiri atau baring betul tak?

2. adakah anda tidak mampu tidur dalam keadaan duduk atau berdiri? kenapa anda baring ketika tidur? sedangkan duduk dan berdiri pun anda masih boleh tidur betul tak?

3. dan kemudian adakah anda mahu baring atau duduk ketika berdepan musuh? kalau dalam keadaan terdesak memang perlu tetapi kita akan tetap cuba berdiri, jika anda hanya suka-suka duduk atau baring bila berdepan musuh tu maknanya ada wayer tanggal dalam kepala anda.

   Jadi anda memang tidak akan dengar keluarga LP menyebut 'DUDUK' atau 'BARING' apabila berdepan musuh. DUDUK bila berdepan tetamu, BARING bila bersama keluarga dan BERDIRI bila berdepan musuh. Anda kenalah sesuaikan mengikut logik akal yang waras, kalau tidak waras tidak usahlah mempersoalkan, dan janganlah memalukan diri sendiri dengan kenyataan yang KELAKAR YA' AMAT. Sampai di sini dahululah, akan datang kita sambung cerita..wasalam.

Thursday 16 February 2012

Assalamualaikum w.b.t...

Selamat sejahtera semua, saya baru dapat berita daripada ayahanda Hj Hasyim pada kira-kira jam 11 malam tadi memberitahu bahawa trip kedua mandi penimbul akan diadakan pada 3&4 mac nanti. Pada sesiapa pelatih yang tidak dapat menyertai trip yang lepas maka jangan lepaskan peluang ini, saya diberitahu bahawa acara ini tidak hanya untuk pelatih yang bakal khatam tetapi terbuka kepada semua. Jadi jangan lepaskan peluang yang memberi kita ilmu, pengalaman dan keseronokkan ini.

Monday 13 February 2012

Assalamualaikum w.b.t...

   Tahniah kepada semua warga LP yang menyertai mandi penimbul pada 4&5 feb lepas termasuk saya dan isteri. Terima kasih juga kepada ayahanda Hj Hasyim serta keluarga kerana meluangkan masa untuk aktiviti ini dan juga memberi peluang kepada kami.

   Tidak lupa juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada cikgu-cikgu khatam yang sama-sama menyertai program ini dan bertungkus lumus menguruskan segala aturcara yang telah dirangcangkan untuk kami.


   Peluang ini adalah satu bonus untuk saya dan pelatih-pelatih lain yang bakal khatam pada bulan mei nanti. Di anggarkan lebih 30 orang pelatih yang bakal khatam pada tahun ini, ia satu perkembangan yang baik dan membanggakan.

   Peluang ini juga memberi kami pengalaman yang sangat berharga, saya dan isteri yang sampai di sana pada pukul 6 petang terus memulakan aktiviti dengan memasang khemah, selesai memasang khemah dan mengemas barang-barang, saya terus menukar pakaian untuk masuk ke dalam air mencari batu. Pelatih-pelatih yang tiba pada waktu lewat malam terpaksa mencari batu dalam keadaan gelap, ini satu pengalaman yang menyeronokkan apabila mereka dikehendaki masuk ke dalam air yang turun dari gunung pada pukul 1 pagi untuk mencari batu.
   
         
   Akhir sekali saya sangat seronok dan puas dengan program ini dan berharap supaya diteruskan pada masa akan datang. Wasalam